Ulasan ini adalah sebahagian tugasan yang diamanahkan dalam Subjek Penulisan Kreatif. Tajuk yang saya pilih adalah Anak Penggunting Rambut
Sinopsis
Cerpen “Anak Penggunting Rambut” mengisahkan seorang ayah
yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan
seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama
panggilan, Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah
berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.
Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang
gunting rambut walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun. Kerana
kebanggaan itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia
remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25,
Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau mengambil
upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.
Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering
mentertawakan pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian,
ayah akan menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan
banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak
seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati
dengan hidupnya sejak kali pertama belajar menggunting rambut.
Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek
telah membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika.
Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti
kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi
Manis berperwatakan lelaki disebabkan rambutnya yang pendek. Namun begitu, ayah
menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah sebagai tukang
gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur
dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut Manis.
Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima
puluh sen untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah
tersebut dikelakkan dalam bekas kelengkapan gunting rambut dan disangkut pada
dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga puluh
sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui wang
tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah menyedari
wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya dengan
syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa kebenarannya.
Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil
mengaturkan masa pelanggan yang datang. Apabila ayah pulang dari ladang,
biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya.
Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut
serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang
digunting.
Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek
walaupun dicemburui oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan,
Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru.
Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi
tidak disenangi oleh warden asramanya.
Apabila meningkat dewasa, Manis menyambung pelajarannya di
Kuala Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang
ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberikan pelbagai alasan
untuk tidak pulang ke kampung.
Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan
daripada kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis
disahkan menghidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah menjadi
sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang gugur daripada
kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.
Doktor memberikan harapan tipis untuk Manis hidup dalam
tempoh beberapa bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayangkan Manis. Dia
menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang
diucapkan oleh Manis kepada, ayahnya, masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya
betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya
lagi.
Tema
Kasih sayang ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja
sebagai tukang gunting menyayangi anaknya, Manisah/Manis dengan memenuhi
kehendak anaknya untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.
Persoalan
1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan.
Contoh: Ayah meneruskan kehidupan menjaga
Manisah setelah kematian isterinya.
2. Persoalan prihatin dengan masalah.anak.
Contoh: Ayah menambah wang saku anaknya setelah
wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.
3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang.
Contoh: Ayah dan anak-anaknya redha menerima
kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.
4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh
hidup.
Contoh: Manisah sanggup meninggalkan keluarga
di kampung untuk menyambung pelajaran di
bandar.
Plot
Permulaan
Pengarang memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah
sebagai tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan
ayah sebagai tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya
menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya dengan
gaya guntingan rambut pendek.
Perkembangan
Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting
walaupun diketawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya
waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip
untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah menengah dan
ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat
universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon
ayahnya sahaja.
Klimaks
Manis disahkan menghidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia
hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hatinya apabila
menerima perkhabaran itu
Peleraian
Penyakit leukemia Manis bertambah parah. Manis akhirnya
meninggal dunia. Ayah menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali
makna sehelai rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.
Teknik Penceritaan
Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.
1. Dialog
Contoh: “Mengapa abah teruskan juga menjadi
pengunting rambut bila dah sampai ke sini?”
2. Imbas kembali
Contoh: Aku masih ingat kali pertama dia ke
tadika. Dia menangis.
3. Monolog Dalaman
Contoh: Kau tak rindukan pisau cukur yang
pernah tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan
bulan abah tidak menggunting rambutmu.
Watak-Watak Didalam Cerpen
Ayah
Ø Sudah berusia lewat 60-an.
Ø Seorang bapa tunggal.
Ø Rajin bekerja untuk menyara keluarganya.
Ø Tabah menjalankan tugasnya sebagai tukang gunting.
Ø Memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut.
Ø Hidup menduda setelah kematian isteri.
Manisah/Manis
Ø Memiliki raut wajah yang comel.
Ø Berpendirian tegas dan sanggup menghadapi risiko.
Ø Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran.
Ø Rajin membantu orang lain.
Ø Gemar berambut pendek.
Latar Masa
Ø Petang – Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang
kecil selepas kematian Manis.
Ø Subuh – waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit
leukemia.
Ø Waktu siang – waktu ayah bekerja di ladang, di kedai
gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.
Tempat
Ø Kampung Batu 25, Bagan Datoh – kampung asal ayah sebelum
berpindah ke tanah rancangan FELDA.
Ø Tanah rancangan FELDA – tempat ayah merantau untuk mencari
penghidupan yang lebih baik.
Ø Tadika – Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam
acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.
Ø Asrama – Manis tinggal di asrama semasa bersekolah
menengah.
Ø Hospital – tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.
Masyarakat
Ø Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk
kelangsungan hidup.
Contoh: Ayah yang berdikari mendidik
anak-anaknya setelah kematian isterinya.
Ø Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja
sampingan.
Contoh: Ayah menjadi peneroka dan meninggalkan
kampung halamannya.
Ø Masyarakat yang berani mempertahankan risiko.
Contoh: Ayah mempertahankan tindakannya
memotong rambut Manisah hingga pendek walaupun
dikritik orang kampung.
Ø Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah
Contoh: Ayah dan abang menerima takdir kematian
Manisah dengan redha.
Nilai Yang Terdapat Dalam Cerpen
1. Nilai keberanian.
2. Nilai berdikari
3. Nilai semangat bermasyarakat
4. Nilai kasih sayang
5. Nilai kerajinan
Pengajaran
1. Kita hendaklah menerima ketentuan Allah
2. Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna.
3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran.
4. Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan
keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan