Isnin, 10 Oktober 2016

Novel Serius VS Novel Popular

Novel Serius

Kulit
Sederhana, ringkas, menarik, kemas, ada foto dan ilustrasi
Cetakan/Terbitan/ Jualan Cetakan bajet. 3,000-5,000 naskhah edisi pertama (DBP). Antara penerbit DBP, Utusan, PTS, Creative Ent., Karangkraf (Alaf 21), Citra Kurnia, dll dan juga penerbitan sendiri. 


Tajuk
Menggambarkan isu, idealisme, kiasan, sindiran , nama orang, nama tempat, tahun, masa, peribahasa. Namun tajuk bukanlah menggambarkan isi yang menentukan serius atau popular karya itu. 


Penulis
Selalu menghasilkan novel yang bermesej serius. Memilih penerbit. Ada yang dikenali dan ada yang tidak dikenali. Ada yang banyak menghasilkan karya dan ada yang kurang.


Nilai dan Pengajaran
Banyak nilai dan pengajaran. Secara tersirat dan tersurat. Secara tidak langsung dapat diserapkan. Membawa pengajaran berdasarkan watak dan peristiwa. 


Tema 

Pelbagai. Namun mengutamakan persoalan kemanusiaan, masyarakat, ketuhanan, idealisme, sejarah, nasionalisme namun tidak menafikan tema kasih sayang dan percintaan. 

Unsur Pendidikan 

Banyak dalam karya remaja. Dalam novel dewasa juga ada tetapi pendidikan dalam membentuk peribadi dan sahsiah serta membijaksanakan pembaca. Memasukkan pelbagai pengetahuan dalam bidang lain seperti perubatan, syariat, muamalah, undang-undang, pertanian dll. 

Unsur Falsafah/Kebijaksanaan 

Banyak rujukan ataupun hasil pembacaan yang luas daripada penulisnya. Kebolehan menguasai bidang tertentu juga dapat dikesani dalam karya. Dapat dilihat kejujuran dan kebijaksaan pengarang melontarkan idea dan cerita. 

Pengiktirafan 

 Diiktiraf oleh panel yang berwibawa, sarjana sastera, pengkaji dan dalam kalangan penulis sendiri serta pembaca yang bijak juga. Pengiktirafan bukan semata-mata dalam bentuk hadiah semata-mata tetapi yang kekal disebut sepanjang zaman. 

Sambutan Pembaca 

Tidak kisah dengan sambutan pembaca. Namun sedar bahawa karya yang baik dibaca oleh pembaca yang baik juga.


Novel Popular


Kulit
Variasi, foto dan ilustrasi penuh, warna-warni, cantik.
Cetakan banyak kerana dijangka sambutan baik. Antara penerbit Creative Enterprise, Karangkraf (Alaf 21), PTS, KarnaDya, Buku Prima, Rhythm, Federal, Tintarona, Kakibuku, dll dan juga penerbitan sendiri.


Tajuk
Menggambarkan perasaan, naluri hati, metafora (cth: Ombak Rindu), hiperbola (cth: Melawan Takdir), kiasan, nama perempuan, nama bunga, unsur bahasa pinjaman, bersifat semasa, ada dialek (cth: Yo, I Love U, Sayang) dll.


Penulis
Selalunya setia dengan satu-satu penerbitan. Karya-karya yang hampir sama temanya. Ada yang suka membuat sekuel (bersambung dalam novel kedua setelah novel pertama laku di pasaran). Setahun menghasilkan satu hingga tiga novel (bergantung individu)


Nilai dan Pengajaran
Ada nilai dan pengajaran. Secara tersurat dan dinyatakan dalam dialog atau perincian (cth: itulah kau, kan tak baik buat begitu…)


Tema
Pelbagai. Namun mengutamakan tema persoalan rumah tangga, percintaan, persahabatan, pengembaraan, masak-memasak dan jahit-menjahit namun ada juga unsur nasionalisme yang ditampal-tampal.


Unsur Pendidikan
Ada dalam karya remaja dan dewasa. Namun dalam beberapa novel dewasa unsur unsur pendidikan kurang diutamakan. Fokus pada cerita.


Unsur Falsafah/Kebijaksanaan
Ada juga yang merujuk tetapi ‘copy & paste’ sahaja asal nampak ada falsafah tinggi tetapi dapat dikesani pembaca. Ada yang berjaya menimbulkan kesan kebijaksanaan dan keinsafan kepada pembaca dan ada yang membuatkan pembaca terasa bosan.


Pengiktirafan
Diiktiraf oleh pembaca yang suka dan saudara-mara dan kroni-kronimya. Mudah dilupakan.


Sambutan Pembaca
Ambil berat dengan sambutan pembaca. Lihat apa yang pembaca suka, maka tulislah. Penulis akan seronok jika dapat masuk senarai buku popular sebab jika menulis sastera serius tidak mungkin atau sukar sekali masuk senarai itu.

Selasa, 2 Ogos 2016

Satu Hari Sebagai Kakitangan Universiti

Salam

Mungkin ada dikalangan kita beranggapan bahawa kerja di sebuah universiti tempatan ini seperti kerja yang bermusim.  Bila ada pelajar sibuk, manakala bila pelajar-pelajar pulang bercuti kami pun goyang kaki. Namun itu semua hanya tanggapan, tapi realitinya sangat berbeza.

Cuba anda bayangkan, ketika pelajar ada di kampus seperti saya ini perlu hadir lebih awal sedikit ke pejabat untuk membuka segala pintu yang ada serta memastikan semua peralatan pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang baik. Mungkin anda tertanya-tanya mana pengawal-pengawal yang sepatutnya membuka semua pintu ini. Ha! disini saya nak maklumkan kami perlu melakukan pelbagai tugasan kerana peranan pengawal ini telah di fokuskan kepada kolej kediaman dan rondaan keselamatan sahaja.

Bukan setakat itu sahaja kami yang berada di fakulti yang kecil selalunya akan mengalami kekurangan kakitangan, jadi solusinya kami diminta menggalas beberapa portfolio tambahan. Tambahan pula bila pelajar semua telah meninggalkan kampus untuk pulang bercuti, tugas kami tidak terhenti disitu sahaja. Selain tugas hakiki yakni pentadbiran perlu diselesaikan terdapat juga tugas-tugas sampingan atau ad-voc seperti urusetia penyelidikan, urusetia persidangan, jawatankuasa itu ini dan macam-macam lagi.

Satu lagi perkara yang saya ingin tekankan disini bukan semua pelajar akan pulang ada antaranya adalah pelajar siswazah dalam mod penyelidikan. Jadi mereka ini perlu melakukan penyelidikan yang di amanahkan kepada mereka untuk mendapat samada Ijazah Sarjana ataupun Doktor Falasafah. Tidak hairanlah ada sesetengah diantara kakitangan universiti ini yang pulang lewat malam, hanya untuk memastikan makmal, bengkel atau bilik pembelajaran boleh digunakkan oleh pelajar-pelajar ini.

Saya tak nafikan juga beban yang kami galas ini sedikit berkurang bila pelajar terutama Prasiswazah telah tamat semester akan pulang dalam empat ke lima minggu ke kampung. Tapi mengambil kira tugasan itu saya rasa tetap berat juga.

Walau apa pon saya tetap bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan

Ahad, 24 Julai 2016

Senyum itu Sedekah

Salam

Tempoh hari saya ada berkongsi sedikit tentang pekerjaan di Universiti. Hari ini saya ingin pergi sedikit mendalam dan berkongsi pengalaman saya sendiri.

Bagi seorang kakitangan kita telah diamanahkan untuk menjalankan tugas, tak kisahlah tugasan itu seperti menjaga peperiksaan, membuat surat, menjaga kaunter malah menghantar surat sekalipon. Disini kita boleh lihat bahawa di Universiti ini kita perlu berkomunikasi dengan pelbagai orang pelajar, kakitangan dan juga orang luar.

Seorang pelajar pula lain pula ceritanya, tujuan utama dia datang ke universiti ini untuk menimba ilmu dan mendapat pengalaman baharu. Bila mana seorang pelajar itu berurusan dengan kakitangan Universiti banyak kali perkara ini terjadi seperti kakitangan meninggikan suara tanpa sebab, endah tak endah pada pelajar dan mungkin juga mengugut pelajar tersebut.

Ini jelas sekali telah melanggar prinsip sebagai seorang kakitangan awam. Ya, saya tahu bahawa kita mungkin menghadapi masalah masing-masing tapi tak elok dilepaskan pada orang yang mungkin tiada kaitan langsung dengan kita seperti seorang pelajar.

Sebagai contoh, acapkali kita dengar tentang perkhidmatan kaunter yang tidak mesra kepada pelanggan muncul diruang akhbar, media sosial dan sebagainya. Dan acapkali juga bila pihak kerajaan memberi sebarang insentif kepada penjawat awam pelbagai pihak mula memainkan sentimen tertentu untuk menandakan protes dan merunggut perkhidmatan barisan hadapan ini teruk.

Maka pendapat saya senyuman itu adalah sangat penting dalam suatu urusan bagi kakitangan barisan hadapan ini. Bagi saya tidak salah kita dapat melemparkan sedikit senyuman kerana dari senyuman itu boleh membawa kepada suatu yang positif dalam komunikasi. Bila seseorang melihat senyuman mungkin mereka lebih selesa untuk berurusan dengan kita, dan dalam islam pon menyarankan kita untuk memberikan senyuman sebagai satu sedekah.

Cuba bayangkan ketika kita sedang berurusan di kaunter untuk mendapatkan satu perkhimdatan dan kakitangan yang menguruskan kita itu mukanya masam bak cuka, meninggikan suara dan berlaku kasar dengan kita, sudah tentu kita tidak merasa selesa dan mungkin ini juga merosakkan imej sebuah institusi.

Saya bukan nak cakap semua perkhidmatan kaunter itu tidak bagus, ada juga yang bagus tapi yang segelintir ini yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam, di Universiti ini pon ada beberapa buah kaunter yang pada khemat saya amat tidak mesra dengan pelanggan mereka tapi biarkan lah ia menjadi rahsia saya saja

Akhir kata senyuman itu pembawa seribu rahmat kepada orang yang menyampaikanya dan sempena penghujung bulan Syawal ini saya ingin memohon seribu kemaafan dari anda.


Rabu, 20 Julai 2016

Ulasan Karya Bahasa Inggeris

Salam

Sekali lagi saya diamanahkan untuk membuat ulasan karya tetapi hari ini dalam bahasa Inggeris. Jadi tajuk yang saya pilih adalah The Steadfast Tin Soldier hasil karya Hans Christian Andersen

Sinopsis

Pada hari lahirnya,seorang kanak-kanak telah menerima satu set 25 askar mainan yang diperbuat dari sebatang sudu timah lama dan menyusun askar-askar itu di atas meja. Seorang askar berdiri di atas satu kaki, kerana telah logam yang digunakan untuk membuatnya tidak cukup untuk membuat dia sempurna. Berhampiran dengannya, askar itu melihat seorang patung ballerina kertas dengan kelip-kelip di ikat bersama dia. Dia juga berdiri di atas satu kaki dan askar itu mula jatuh cinta. Pada malam itu, patung jembalang berbentuk a-box jack-in dengan marahnya memberi amaran kepada askar itu supaya menjauhi patung ballerina itu, tetapi askar tidak mempedulikan dia patung jembalang tersebut.Keesokan harinya, askar itu jatuh dari tingkap dan ke jalan (mungkin dilakukan oleh patung  jembalang). Dua orang kanak-kanak lelaki telah menjumpai askar tersebut dan letakkan dia dalam bot kertas serta menyuruh dia belayar dalam longkang. Bot serta penumpang terjatuh ke dalam longkang itu di mana seekor tikus menuntut askar supaya dia membayar tol

meneruskan pelayaran, bot itu dibawa ke dalam sebuah terusan, di mana askar timah itu ditelan oleh serkor ikan. Apabila ikan ini ditangkap dan dibelah askar timah itu mendapati dirinya sekali lagi di atas meja itu di hadapan patung ballerina itu. Secara tidak sengaja, kanak-kanak itu melemparkan askar timah ke dalam api dan angin yang bertiup meniup ballerina itu ke dalam api bersama dia; dia dilebur sekaligus tetapi kelip-kelipnya tertinggal. lalu askar timah cair juga ke dalam bentuk hati.

Tema

Satu cerita yang sedih tentang askar timah itu mencintai seorang patung bellarina yang mempunyai sifat yang sama sepertinya dan sifat cemburu patung jembalang itu terhadap askar timah itu.

Watak
-Askar Timah
-Bellarina Timah
-Patung Jembalang

Latar Tempat
-Diatas Meja
-Di Tinggap
-Diatas Jalan
-Didalam Longkang
-Diterusan
-Didalam Perut Ikan

Nilai
-Keberanian

Isnin, 18 Julai 2016

Ulasan Karya Bahasa Melayu

Salam

Ulasan ini adalah sebahagian tugasan yang diamanahkan dalam Subjek Penulisan Kreatif. Tajuk yang saya pilih adalah Anak Penggunting Rambut

Sinopsis

Cerpen “Anak Penggunting Rambut” mengisahkan seorang ayah yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama panggilan, Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.

Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun. Kerana kebanggaan itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau mengambil upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.

Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati dengan hidupnya sejak kali pertama belajar menggunting rambut.

Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika. Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi Manis berperwatakan lelaki disebabkan rambutnya yang pendek. Namun begitu, ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut Manis.

Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut dikelakkan dalam bekas kelengkapan gunting rambut dan disangkut pada dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga puluh sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa kebenarannya.

Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa pelanggan yang datang. Apabila ayah pulang dari ladang, biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya. Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang digunting.

Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun dicemburui oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan, Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru. Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden asramanya.

Apabila meningkat dewasa, Manis menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak pulang ke kampung.

Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis disahkan menghidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.

Doktor memberikan harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayangkan Manis. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang diucapkan oleh Manis kepada, ayahnya, masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya lagi.

Tema

Kasih sayang ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting menyayangi anaknya, Manisah/Manis dengan memenuhi kehendak anaknya untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.

Persoalan

1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan.
    Contoh: Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.

2. Persoalan prihatin dengan masalah.anak.
   Contoh: Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk    perbelanjaan harian di sekolah.

3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang.
   Contoh: Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.

4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup.
   Contoh: Manisah sanggup meninggalkan keluarga di kampung untuk menyambung pelajaran di  
   bandar.

Plot

Permulaan

Pengarang memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah sebagai tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah sebagai tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya dengan gaya guntingan rambut pendek.

Perkembangan

Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting walaupun diketawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah menengah dan ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.

Klimaks

Manis disahkan menghidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hatinya apabila menerima perkhabaran itu

Peleraian

Penyakit leukemia Manis bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.

Teknik Penceritaan
Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1. Dialog
    Contoh: “Mengapa abah teruskan juga menjadi pengunting rambut bila dah sampai ke sini?”

2. Imbas kembali
   Contoh: Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.

3. Monolog Dalaman
    Contoh: Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan 
    bulan abah tidak menggunting rambutmu.

Watak-Watak Didalam Cerpen

Ayah

Ø Sudah berusia lewat 60-an.
Ø Seorang bapa tunggal.
Ø Rajin bekerja untuk menyara keluarganya.
Ø Tabah menjalankan tugasnya sebagai tukang gunting.
Ø Memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut.
Ø Hidup menduda setelah kematian isteri.

Manisah/Manis

Ø Memiliki raut wajah yang comel.
Ø Berpendirian tegas dan sanggup menghadapi risiko.
Ø Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran.
Ø Rajin membantu orang lain.
Ø Gemar berambut pendek.

Latar Masa

Ø Petang – Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.

Ø Subuh – waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit leukemia.

Ø Waktu siang – waktu ayah bekerja di ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.

Tempat

Ø Kampung Batu 25, Bagan Datoh – kampung asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA.

Ø Tanah rancangan FELDA – tempat ayah merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.

Ø Tadika – Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.

Ø Asrama – Manis tinggal di asrama semasa bersekolah menengah.

Ø Hospital – tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.

Masyarakat

Ø Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk kelangsungan hidup.
   Contoh: Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya setelah kematian isterinya.

Ø Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja sampingan.
    Contoh: Ayah menjadi peneroka dan meninggalkan kampung halamannya.

Ø Masyarakat yang berani mempertahankan risiko.
    Contoh: Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga pendek walaupun 
    dikritik orang kampung.

Ø Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah
   Contoh: Ayah dan abang menerima takdir kematian Manisah dengan redha.


Nilai Yang Terdapat Dalam Cerpen

1. Nilai keberanian.
2. Nilai berdikari
3. Nilai semangat bermasyarakat
4. Nilai kasih sayang
5. Nilai kerajinan

Pengajaran

1. Kita hendaklah menerima ketentuan Allah
2. Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna.
3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran.
4. Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga.


Isnin, 11 Julai 2016

Kedai Makan...Warung...Food Truck

Salam

Hari ini saya terpanggil untuk bercerita sedikit tentang tempat makan yang ada di Bandar Baru Bangi (BBB) ini dan semua orang tahu bahawa BBB ini selain dari menjadi pusat Butik pakaian ia juga adalah syurga bagi penggemar makanan.

1. Kedai Makan@Restoran

Sekarang ini terdapat banyak kedai makan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan ada yang berkonsepkan santai, ada juga fine dining dan ada pula yang hipster stail kafe tak lupa juga konsep kopitiam. kedai-kedai seperti ini selalunya harga makanannya anggaran dari sederhana ke mahal.

Apa yang saya perhatikan adalah warga BBB ini akan membawa keluarga mereka makan ditempat begini di hujung minggu atau setelah mendapat gaji.

2. Warung@Medan Selera

Tempat makan seperti warung atau medan selera juga banyak terdapat di BBB ini, selalunya harga yang ditawarkan agak murah berbanding dengan kedai makan atau restoran. Warung juga menjadi perhatian kepada warga kerja mahupun pelajar di waktu makan tengahari kerana mereka inginkan sesuatu yang murah dan juga menjimatkan

Walaubagaimana murah atau menjimatkan suatu warung itu harus diingat bahawa kebersihaan kawasan dan pemilik warung tersebut perlu dititik beratkan supaya tidak menjadi masalah keracunan dan sebagainya.

3.Food Truck

Satu lagi trend yang berkembang pesat adalah Food Truck atau Trak Makanan. Kebanyakkan trak-trak ini menawarkan hidangan yang pelbagai, tetapi bagi saya lebih kepada konsep Hipster ini. Kawasan tumpuan trak ini adalah di Tempat Letak Kereta Seksyen 3 Tambahan (Isnin - Khamis) dan dihadapan Kompleks PKNS (Jumaat - Ahad).

Dari segi harga pula saya lihat ia terarah kepada harga seperti makan di kedai atau restoran. Jika anda semua lihat tujuan asal trak makanan ini adalah untuk menyediakan makanan yang sedap dan berkualiti seperti di kedai dengan harga yang berpatutan. Tetapi apa yang saya amati adalah kebanyakkan trak makanan ini menawarkan menu yang sama pada harga yang lebih tinggi dari kedai atau restoran. Sebagai contoh Chicken Chop RM 8 - RM 10 diberi nama hipster sedikit terus berubah harganya sehingga belasan ringgit. 

Saya tidak pasti dengan anda tetapi penambahan RM 2 atau RM 3 agak tidak berpatutan dengan konsep yang cuba disampaikan. Bukan niat untuk memburukkan hanya meluahkan.



Raya Pertama Bersama Keluarga Mertua

Salam

Hari Raya tahun ini saya akan beraya bersama keluarga mertua di Parit Ya'ani, Yong Peng, Johor, Ya lah selama hidup ini, ini baru kali pertama saya beraya bukan dengan orang tua dan keluarga sebelah ibu atau bapa saya sendiri.

Saya pulang ke Johor tempoh hari dua hari lebih awal sebelum raya, jadi saya dapat merasai suasana berpuasa dan berbuka bertemakan suasana kampung. Dua hari awal ini saya dapat juga membantu Mak Mertua untuk mengemas rumah serta menukarkan langsir yang baharu.

Malam raya saya diberi tanggungjawab untuk memasak rendang atas permintaan Mak Mertua saya alhamdulilah berjaya juga masak walaupun tidak banyak tapi rasa ada rupa pon ada.

Pagi raya saya dan ahli keluarga keluar ke pusara arwah Ayah Mertua dan sempat membacakan Surah Yassin dan sedikit tahlil ringkas kemudian ke pusara sanak saudara yang telah lama meninggalkan kami.

Selepas itu, terus bersiap-siap ke Masjid berdekatan dan bersolat Hari Raya Aidilfitri kemudian pulang dan bermaaf-maafan dengan keluarga mertua.

Apa yang menarik disini yang jarang saya lihat adalah amalan kunjung-mengunjung antara sanak-saudara serta jiran tetangga yang erat, kami menghabiskan masa setengah hari di hari raya pertama itu hanya menziarah sanak-saudara dan jiran-jiran berhampiran dengan rumah mertua.

Di sini makanan hari raya sedikit berbeza, selalunya hari raya kita dijamu dengan lemang, rendang dan sebagainya. Tetapi di sini mereka lebih kepada kuah masak lodeh bersama ketupat serta kuah kacang dan hanya beberapa buah rumah sahaja yang menyajikan rendang ataupun lemang.

Itulah serba sedikit pengalaman beraya bersama mertua buat kali pertama

Sabtu, 9 Julai 2016

Lontong Goreng

Salam

Hari ni saya nak cerita pasal Lontong Goreng....Iye Lontong Goreng, tak pernah dengar kan. Suatu ketika dulu pon saya tak pernah dengar pon hidangan ni Lontong bersama Kuah Lodeh dengan Kuah Kacang tau lah. Itu selalu juga makan ini Lontong yang digoreng pelik tapi benar.

Hidangan ini agak popular di Johor, saya diperkenalkan dengan hidangan ini pon melalui isteri saya yang amat menggemari Lontong Goreng. Pelbagai cara atau rencah boleh digunakan untuk menghasilkan hidangan ini.

Cara yang paling mudah adalah seperti ingin memasak nasi goreng kampung. Rencah-rencah nasi goreng kampung di tumis dan dimasak sehingga naik bau, seterusnya masukkan nasi impit atau lontong kedalam ramuan tersebut digaul sebati. Kemudian tambahkan perasa seperti garam dan gula dan seimbangkan rasanya.

Jika anda minat Lontong Goreng ini lebih pedas semasa menumis boleh tambahkan lagi cili api. Bagi yang tidak tahan pedas boleh tumis rencah seperti ingin memasak nasi goreng cina. bagi menampakkan hidangan ini lebih cantik letak sedikit kicap dan sos tiram beserta sos tomato....SIAPPPP....nampak sedapkan, walau apa pun cara tumisannya jika sudah dimasukkan nasi impit jadi Lontong Goreng lah masakkan itu.


Rabu, 6 Julai 2016


Salam

Dikesempatan ini masih tidak terlambat kiranya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan.

Marilah kita merenung sejenak setelah sebulan berpuasa kita ini hanya menahan lapar dan dahaga sahaja atau diisi dengan amalan yang baik.

Hari raya ini marilah kita mengeratkan silaturahim antara sanak-saudara, rakan-taulan dan jiran-jiran, hidupkanlah semula semangat kunjung mengunjung dan ziarah-menziarahi.

Tetapi satu perkara harus di ingat jika berkunjung tu, jaga pemakanan kita, makan secara berserdahana sahaja.

Semoga segala apa yang kita lakukan ini dirahmati oleh Allah S.W.T, Insyallah


Khamis, 30 Jun 2016

Paling Rendah Paling Tinggi

Mari kita sama-sama renungkan ungkapan ini

Minda yang hebat membincangkan Idea;
Minda yang sederhana membincangkan Peristiwa;
Minda yang kecil membincangkan orang.                                                                             - Eleanor Roosevelt

Ahad, 12 Jun 2016

Hobi Oh Hobi

Salam

Hari ini saya ingin menceritakan sedikit tentang hobi. saya yakin setiap orang daripada kita setidak-tidaknya mempunyai satu hobi atau kegiatan yang disukai.

Seperti anda saya mempunyai beberapa hobi antara yang saya minati adalah memancing, fotografi dan radio amatur.

Memancing bagi saya dapat melatih kita tentang kesabaran, kerana apabila kita sedang menduga sungai, jeram, tasik mahupun lautan kesabaran itu amat penting kerana bukan mudah untuk kita memikat sang penghuni dasar. kadangkala nasib juga memainkan peranan dalam aktiviti ini. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah trip memancing di Taman Negara Royal Belum, 

Fotografi juga menjadi salah satu aktiviti yang saya minati. minat dalam fotografi ini lahir semasa saya di peringkat Diploma di UiTM Seri Iskandar, Perak dimana saya telah ditugaskan sebagai jurufoto dalam satu upacara rasmi yang dihadiri oleh pengurusan tertinggi kampus. Dari situlah wujudnya rasa ingin tahu yang mendalam dalam dunia fotografi, Adakalanya saya juga menggunakan hobi ini untuk mendapatkan sedikit duit poket dengan menjadi Freelance. saya berpendapat jika kita betul-betul berminat dalam bidang ini kita boleh menjana pendapatan yang agak lumayan.

Radio Amatur pula saya kenalinya juga semasa saya menuntut di UiTM Perak, saya pergi ke satu pameran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan salah satu booth pameran adalah berkaitan Radio Amatur. Pelbagai input dapat saya perolehi dari booth berkenaan. Selepas itu, minat ini terhenti buat sementara, tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan minat ini kembali mekar dan saya menyertai satu kelab radio amatur iaitu Persatuan Peminat Komunikasi Radio Dua Hala Selangor (PRADAS). Dari situ saya juga dapat berkenalan dengan beberapa orang ahli radio amatur dan saya terus terjebak dalam persatuan mereka iaitu Alam Damai Amature Radio Club (ADARC47). Selang beberapa bulan seterusnya saya mengambil Peperiksaan Radio Amatur (RAE) yang di kelolakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Alhamdulillah saya lulus dan memilih nama panggilan (Callsign) 9W2XSJ.

Jadi pokoknya hobi ini adalah yang mencorakkan dan memaikan peranan penting dalam hidup kita, Tanpa hobi maka bosanlah hidup kita





Jumaat, 10 Jun 2016

Temuduga Pengambilan Pelajar Baharu Sarjanamuda Undang-Undang Sesi Akademik 2016/2017

Salam

Berlangsung dari 20 Mei 2016 sehingga 2 Jun 2016 bertempat di beberapa lokasi diseluruh pelusuk tanah air kita telah berlangsung sesi temuduga pengambilan pelajar baharu bagi Program Sarjanamuda Undang-Undang bagi sesi akademik 2016/2017.

Alhamdulilah saya telah diberi kepercayaan sekali lagi untuk turut serta dalam temuduga tersebut. Antara lokasi yang sempat saya bantu adalah di Zon Tengah bertempat di Fakulti Undang-Undang, Zon Utara di Alor Setar dan Zon Timur di Kota Bahru.

Pelbagai jenis ragam dapat saya lihat dan pelbagai jenis latar masyarakat dapat saya saksikan dari yang mewah sehingga yang susah. ada yang datang bersama keluarga dan ada pula yang datang sendirian tanpa bantuan ahli keluarga.

Walau apa pun saya mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua yang telah ditemuduga, Insyallah keputusan temuduga akan diketahui sedikit masa lagi.

Bagi yang berjaya selamat datang ke Fakulti Undang-Undang dan bagi yang tidak berjaya mungkin ada peluang yang lebih baik lagi yang akan datang Insyallah.




Khamis, 9 Jun 2016

Alumni UKM Tersohor

Salam

Pada 19 Mei 2016 yang lalu Alumni tersohor Fakulti Undang-Undang YB Dato' Razali Ibrahim,, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sempat meluangkan masa beliau untuk merasmikan Razali Student Lounge (RSL) yang terletak di Bangunan Mahkamah Moot, FUU

Sebelum itu beliau sempat berkongsi pengalaman beliau menjadi seorang pelajar di UKM sehinggalah keperingkat menjadi Peguam di negeri kelahiran beliau di Johor dan seterusnya kedalam bidang politik.



*Foto UKMPride


Rabu, 8 Jun 2016

KEMBARA - Senandung Buruh Kasar


Lihatlah bangunan yang tinggi mengawan
Menghiasi kotaraya
Menjadi kemegahan dari zaman ke zaman
Kejayaan negara
Pandanglah aku yang bermandi keringat
Di bawah terik mentari
Bekerja dengan menghempas tulang
Mencari nafkah sehari
Aku hanyalah seorang buruh kasar
Di tengah kota besar turut merasa bangga
Kerana telah berjasa
Kerana tanpa kami tak mungkin terlaksana
Sebuah kota yang menjadi
Impian sezaman
Cukup hidup sederhana
Sedang bekerja, haaa..
Bisa bernyanyi, ketawa dan bersenda

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan



Assalamualikum

Pertama sekali masih tidak terlewat untuk saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa dibulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya ingin mengajak rakan-rakan untuk menghayati bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan ibadah dan amalan-amalan yang baik, menjaga tutur kata dan perbuatan serta banyakkan bersabar dan istiqomah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Tujuan bulan yang mulia ini adalah untuk kita dapat belajar dan merasai kesusahan dan ketabahan rakan mahupun sahabat kita yang mungkin kurang bernasib baik seperti kita. Oleh itu kita seharusnya bersyukur dengan nikmat dan limpah kurnia yang telah diberikan kepada kita.

Salam Ramadhan Kareem

Isnin, 6 Jun 2016

Salam Perkenalan

Assalamualikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua yang sudah dikenali...yang sedang dikenali...dan yang bakal dikenali.

Proses daripada kawan menjadi sahabat memerlukan usaha pemeliharaan dari kesetiaan antara satu dan yang lainnya, tetapi bukan pada saat kita memerlukan bantuan barulah kita mempunyai motivasi mencari perhatian, pertolongan dan pernyataaan kasih dari orang lain, tetapi justeru ia berinisiatif memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukankan oleh sahabatnya.

Selamat berkenalan buat sahabat kalian

Mesra diudara....Akrab didaratan