Salam
Hari Raya tahun ini saya akan beraya bersama keluarga mertua di Parit Ya'ani, Yong Peng, Johor, Ya lah selama hidup ini, ini baru kali pertama saya beraya bukan dengan orang tua dan keluarga sebelah ibu atau bapa saya sendiri.
Saya pulang ke Johor tempoh hari dua hari lebih awal sebelum raya, jadi saya dapat merasai suasana berpuasa dan berbuka bertemakan suasana kampung. Dua hari awal ini saya dapat juga membantu Mak Mertua untuk mengemas rumah serta menukarkan langsir yang baharu.
Malam raya saya diberi tanggungjawab untuk memasak rendang atas permintaan Mak Mertua saya alhamdulilah berjaya juga masak walaupun tidak banyak tapi rasa ada rupa pon ada.
Pagi raya saya dan ahli keluarga keluar ke pusara arwah Ayah Mertua dan sempat membacakan Surah Yassin dan sedikit tahlil ringkas kemudian ke pusara sanak saudara yang telah lama meninggalkan kami.
Selepas itu, terus bersiap-siap ke Masjid berdekatan dan bersolat Hari Raya Aidilfitri kemudian pulang dan bermaaf-maafan dengan keluarga mertua.
Apa yang menarik disini yang jarang saya lihat adalah amalan kunjung-mengunjung antara sanak-saudara serta jiran tetangga yang erat, kami menghabiskan masa setengah hari di hari raya pertama itu hanya menziarah sanak-saudara dan jiran-jiran berhampiran dengan rumah mertua.
Di sini makanan hari raya sedikit berbeza, selalunya hari raya kita dijamu dengan lemang, rendang dan sebagainya. Tetapi di sini mereka lebih kepada kuah masak lodeh bersama ketupat serta kuah kacang dan hanya beberapa buah rumah sahaja yang menyajikan rendang ataupun lemang.
Itulah serba sedikit pengalaman beraya bersama mertua buat kali pertama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan